Sejarah Rusia
bermula dengan kedatangan orang Rus
pada tahun 862 M yang mengasaskan pemerintahan di Kota Kiev yang
diketuai oleh Rurik. Selepas itu,
bermula pemerintahan negara kota Kiev oleh Dinasti Rurik selama 700 tahun.
Semasa pemerintahan Oleg, negara kota Kiev meluaskan jajahan takluk dengan menguasai
Pskov, Moscow, Smolensk Tver dan Novgorod. Negara kota Kiev mencapai zaman
kegemilangan semasa pemerintahan Yaraslov (1019-1054) iaitu beliau
berjaya menguasai wilayah-wilayah seperti Suzdal, Riazan, Novgorod, Byeloozero,
Tchernogov, Murom, Pereyaslav dan Smolensk. Beliau juga
menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara-negara Byzantium, Hungary,
Poland, Norway dan Sweden.
Menjelang abad ke-12 M, negara kota Kiev mengalami
kemerosotan ekoran daripada serangan orang Monggol dan pasukan tentera Monggol di bawah pimpinan Batu
Khan berjaya menguasai negara kota Kiev. Selepas itu, bermula pemerintahan
Monggol di Rusia yang berlanjutan hingga tahun 1480 yang dikenali sebagai
kerajaan Golden Horde.
Menjelang pertengahan abad ke-14 M, kerajaan Golden Horde
mula mengalami kemerosotan akibat kebangkitan Moscow. Pada tahun 1380,
pemerintah Moscow yang dikenali sebagai Dmitri berjaya menewaskan
tentera Monggol di Kulikovo yang terletak berhampiran Sungai Don. Akhirnya,
bermula era pemerintahan Moscow. Tsar
Ivan III berjaya menyatukan seluruh Rusia di bawah pemerintahan pusat yang
terletak di Moscow. Semasa pemerintahan Tsar Ivan III, Moscow muncul sebagai pusat pentadbiran, keagamaan dan
perdagangan di Rusia.
Selepas kematian Tsar Ivan IV, bermula bibit-bibit
kemerosotan dalam kerajaan Moscow ekoran daripada kekacauan yang berlaku dalam
negeri. Pada tahun 1613, Michael Romanov telah dilantik sebagai
Tsar baru untuk negara Rusia. Bermula pemerintahan Dinasti Romanov pada tahun 1613 dan
berakhir pada tahun 1917. Terdapat beberapa orang Tsar di bawah pemerintahan
Dinasti Romanov, antaranya ialah Tsar
Peter Agung (1689-1725), Tsar Alexander I ( 1801-1825),Tsar Nicholas I
(1825-1855), Tsar Alexander II (1855-1881), Tsar Alexander III (1881-1894) dan
Tsar Nicholas II (1894-1917).
Institusi Pemerintahan Bermaharaja
Zaman St. Petersburg
Pemerintahan
Tsar Peter Agung (1689-1725)
Tsar Peter Agung merupakan pemerintah Rusia yang telah melakukan
pelbagai pembaharuan dalam bidang politik, sosial, ekonomi dan keagamaan.
Pembaharuan yang dijalankan adalah didorong oleh pengalamannya ketika mengembara
ke negara-negara Eropah Barat seperti Jerman, Belanda, Austria, Britain dan
Perancis. Tsar Peter ingin menjadikan negara Rusia maju setanding
dengan negara-negara Barat ini. Antara pembaharuan yang dilakukan oleh Tsar
Peter Agung adalah seperti dalam bidang politik, ekonomi dan sosial.
Bidang Politik
Menyusun Semula
Sistem Pentadbiran Rusia
Semasa pemerintahan Tsar Peter Agung, sistem pentadbiran
Rusia disusun semula dengan mewujudkan sistem pentadbiran pusat yang cekap dan
teratur. Baginda melakukan rombakan dalam institusi-institusi pentadbiran
seperti Duma, Zemskii Sabor dan Prikazi iaitu digantikan dengan Majlis Senat pada tahun 1711. Majlis Senat
dianggotai oleh sembilan orang ahli. Sebuah badan yang dikenali sebagai Colleges
ditubuhkan untuk mengurangkan beban tugas anggota Senat.
Memindahkan
Pusat Pemerintahan
Pada tahun 1721, Tsar Peter Agung memindahkan pusat
pentadbiran dan Moscow ke St. Petersburg untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai
peynerintah berkuasa mutlak di Rusia. Sistem pentadbiran yang cekap menyebabkan
Tsar Peter Agung berjaya meluaskan
kuasa dan menewaskan Turki dan Sweden.
Dasar Peluasan Kuasa
Tsar Peter
Agung mengambil langkah-langkah untuk membina pasukan tentera yang kuat menangkis
serangan musuh, mematahkan pemberontakan dalam negeri, dan meluaskan jajahan
takluk Rusia. Pada tahun 1696, beliau melancarkan serangan kedua dan berjaya
menguasai kubu tersebut daripada orang Tartar.
Selepas
menguasai Azov, Tsar Peter Agung melancarkan serangan terhadap Sweden. Tsar Peter
Agung berjaya menewaskan tentera Sweden dalam pertempuran di Poltova. Peperangan
dengan Sweden ditamatkan melalui Perjanjian Nystadt yang dimeterai pada tahun 1721. Menerusi Perjanjian
Nystadt, Tsar Peter Agung berjaya menguasai Livonia, Estonia, Ingria dan
Karelia dan Sweden.
Kejayaan Tsar Peter Agung menyebabkan Rusia muncul sebagai
sebuah empayar yang kuat di Eropah pada abad ke-18 M. Semasa pemerintahan Tsar
Peter Agung, empayar Rusia telah mencapai zaman kegemilangan. Tsar Peter Agung
meletakkan asas yang kukuh bagi Rusia mencapai kemajuan pada abad-abad
seterusnya.
Bidang Ekonomi
Memajukan Sektor Perindustrian
Untuk
mengukuhkan kedudukan ekonomi negara dan meningkatkan perbendaharaan negara,
baginda telah membangunkan sektor perindustrian iaitu memberi penekanan kepada
sektor industri berat dan industri pembuatan. Sektor perindustrian diletakkan
di bawah penyeliaan kerajaan pusat di mana kerajaan pusat telah memberi
pelbagai insentif dan subsidi untuk membangunkan sektor perindustrian.
Sektor pembuatan barangan seperti tekstil, kaca dan
barangan kulit turut dimajukan. Manakala industri berat seperti industri besi
dan keluli juga telah dimajukan di Ural. Kilang membuat senjata dan
peralatan perang didirikan oleh kerajaan untuk menyediakan peralatan perang yang mencukupi.
Penekanan yang diberikan oleh Tsar
Peter Agung telah berjaya menarik pemodal-pemodal asing untuk mendirikan kilang
di Rusia dan hasilnya banyak kilang didirikan di Rusia. Sebagai contoh, pada
tahun 1682 terdapat 21 buah kilang dan
bertambah kepada 200 buah kilang pada tahun 1725. Menjelang abad ke-18 M, Rusia
menjadi pembekal besi utama untuk pasaran di Eropah.
Memantapkan
sistem percukaian
Tsar
Peter Agung turut memperkenalkan pelbagai cukai untuk menambahkan
perbendaharaan negara dan membiayai peperangan. Baginda memperkenalkan cukai
tidak langsung bagi barangan keperluan harian dan cukai kepala pada tahun 1718.
Cukai kepala dibayar mengikut jumlah individu dalam sesebuah isi rumah dan
dibayar dalam bentuk wang tunai.
Bidang Sosial
Memajukan
Bidang Pendidikan
Tsar Peter
Agung turut memberikan penekanan kepada kemajuan dalam bidang pendidikan.
Baginda menghantar ramai golongan muda ke Barat untuk menuntut ilmu dan
mempelajari kepakaran dalam bidang-bidang tertentu.
Selain itu, baginda juga telah
menubuhkan lebih banyak sekolah di Rusia antaranya sekolah The Navigator
School, Naval Academy, Engineering Academy, dan Artillery Academy. Mata
pelajaran yang diberikan penekanan ialah bidang aritmatik, geometri, geografi
dan pelayaran. Baginda juga telah menubuhkan sebuah universiti yang dikenali
sebagai The Imperial Academy of Science.
Baginda juga
memperkenalkan penerbitan surat khabar yang pertama di Rusia, mengubah sistem
kalender Rusia dengan memperkenalkan sistem kalender Julius dan menggalakkan penterjemahan
bahan-bahan bacaan dari luar negara.
Menyusun Semula Pentadbiran Gereja
Dalam bidang keagamaan, Tsar Peter Agung mengambil
langkah untuk menyusun semula pentadbiran gereja bagi mengurangkan kuasa dan
keistimewaan yang dimiliki oleh gereja. Baginda bertindak meletakkan
pentadbiran gereja di bawah bidang kuasanya.
Selepas kematian ketua Gereja Kristian Ortodoks pada
tahun 1700, baginda tidak melantik penggantinya. Malah memperkenalkan badan
yang dikenali sebagai Holy Synod untuk mengambil alih peranan ketua Gereja
Kristian Ortodoks. Badan ini dipengerusikan sendiri oleh baginda dengan dibantu
oleh biskop-biskop yang dilantik oleh kerajaan pusat sebagai anggotanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan