Konsep Raja/Maharaja
Sistem Pemerintahan Kemaharajaan di China
Di negara China, kewujudan sistem maharaja dikatakan bermula sejak zaman
Dinasti Hsia yang dianggap sebagai dinasti pertama dan berkekalan sehingga
tahun 1911. Antara dinasti yang wujud lanjutan daripada Dinasti Hsia ialah
Dinasti Shang (1750 SM), Dinasti Chin, Dinasti Sung, Dinasti Sui, Dinasti Tang,
Dinasti Ming dan Dinasti Ching (Manchu).
Pemerintahan bercorak maharaja di negara China berakhir dengan
berlakunya Revolusi pada tahun 1911. Sehubungan itu, walau sekerap mana
sekalipun penggantian dinasti berlaku namun kedudukan maharaja sebagai
pemerintah tertinggi tetap terpelihara. Maharaja kekal kedudukannya sebagai
tonggak terpenting dalam kerajaan selagi berupaya mengekalkan mandat dari
syurga. Maharaja China menjalankan pelbagai peranan dalam memperkukuhkan
kedudukannya sebagai pemerintah di negara China sehingga kejatuhan Dinasti
Manchu pada 1911.
Kedudukan Maharaja
Memerintah Berdasarkan Ajaran Confucius
Dalam mengabsahkan kedudukan maharaja dalam sistem pemerintahan di
negara China, ia haruslah dilihat melalui kombinasi beberapa aspek terutamanya
antara falsafah Confucius dan kepercayaan masyarakat terhadap perkembangan
politik semasa yang melibatkan maharaja dengan kerajaan yang ditadbir serta
hubungannya dengan kesejahteraan masyarakat pada ketika itu.
Konsep Manadat Dari Syurga
Kedudukan politik seseorang maharaja adalah dilegitimasikan berdasarkan
konsep mandate of haeven atau mandat dari syurga. Konsep ini
secara langsung meletakkan maharaja sebagai wakil syurga atau anak syurga
(Tuhan) dan ia memberi kuasa spiritual yang tidak terhingga kepada seseorang
maharaja.
Konsep ini juga menjelaskan bahawa Tuhan telah menganugerahkan kepada maharaja tersebut satu kuasa untuk
memerintah dan sehingga kuasa tersebut ditarik balik, tiada kuasa lain yang
boleh mendakwa baginda atas segala tindakan baginda.
Dalam hal ini, ahli falsafah terkenal China, Kung Fu-Tze menyatakan
bahawa, “sesiapa (maharaja) yang berjaya mendapat mandat dari syurga akan
berjaya menjadi maharaja, namun sekiranya mandat tersebut ditarik balik, ia
(maharaja) akan dianggap sebagai penjenayah dan harus digulingkan”. Justeru
bagi mengekalkan legitimasinya, seseorang maharaja harus memastikan kehidupan
rakyat sentiasa berada dalam keadaan tenteram, harmoni dan makmur. Sekiranya
maharaja tersebut gagal, maka mandatnya dianggap telah ditarik balik dan harus
digantikan dengan seseorang yang lain yang mendapat mandat baru dari syurga.
Kedudukan Maharaja Dalam Susun Lapis
Dalam susun lapis masyarakat pula, maharaja berada pada kedudukan
tertinggi dalam sistem feudal. Justeru dalam mengekalkan kedudukannya, maharaja
membahagikan negara China kepada dua bahagian, iaitu kerajaan pusat dan kerajaan
wilayah. Bagi membantu maharaja di peringkat pusat, golongan sarjana yang
berpendidikan dan lulus peperiksaan awam dalam ajaran Confucius
bertanggungjawab membantu dalam menggubal dasar-dasar awam serta melaksanakan
arahan maharaja ke peringkat bawahan.Golongan ini mendapat status yang tinggi
di istana serta berpengaruh dalam kalangan rakyat disebabkan pengetahuannya
dalam ajaran Confucius. Di peringkat wilayah pula, pentadbiran lam
dipertanggungjawabkan kepada golongan warlord atau hulubalang. Golongan ini
membentuk pentadbiran sendiri di peringkat wilayah. Jarak yang jauh di antara
peringkat pusat dan wilayah, memudahkan mereka membentuk sistem pencukaian,
tentera dan pentadbiran sendiri.
Kedudukan seseorang maharaja semakin diperkukuhkan melalui falsafah dan
ajaran Confucius yang meletakkan kesetiaan kepada maharaja sebagai keperluan
kepada masyarakat selain isteri taat kepada suami dan anak taat kepada ibu
bapa. Ajaran Confucius yang kemudianya menjadi ideologi politik dalam
pembentukan sistem pentadbiran dinasti di China secara tidak langsung
memperkasakan lagi kedudukan seseorang maharaja sebagai pemerintah. Sejak zaman
dinasti-dinasti awal lagi, ajaran Confucius menjadi pegangan dalam
pemerintahan. Ia membentuk satu aliran falsafah yang utama di China dan
seterusnya menjadi asas kepada kebudayaan masyarakat tempatan di negara
berkenaan sehingga kedatangan orang-orang Barat.
Peranan Maharaja di China
1.
Politik
Ketua pemerintah
Dalam sistem pemerintahan Maharaja merupakan ketua pemerintah tertinggi
negara yang berkuasa mutlak. Maharaja berkuasa penuh dalam semua aspek yang
merangkumi politik, ekonomi dan sosial. Segala perintah maharaja rakyat tidak
boleh engkar dan jika engkar rakyat boleh dijatuhkan hukuman yang berat. Maharaja
China juga sebagai ketua perundangan, eksekutif, & kehakiman. Untuk
melicinkan pentadbiran Maharaja dibantu oleh Jabatan Setiausaha Tinggi dan
Majlis Tertinggi.Terdapat 6 orang pembesar kanan. Maharaja juga menubuhkan
jabatan khas iaitu Jabatan Penapis
sebagai mata dan telinga dan maharaja.
Melantik golongan pembesar
Maharaja China mempunyai peranan yang sangat besar dalam urusan melantik
golongan pembesar sama ada di peringkat pusat atau wilayah. Golongan pembesar
yang akan dilantik oleh maharaja ini perlu lulus dalam peperiksaan awam China
yang diadakan diperingkat pusat, wilayah dan kampung. Maharaja perlu melantik
golongan pembesar yang benar-benar boleh menjalankan tugas mereka kerana kuat
atau lemah seseorang maharaja itu bergantung kepada mereka. Golongan pembesar
ini dianggap sebagai tulang belakang atau tiang kerajaan untuk menunjukkan
betapa pentingnya golongan ini. Mereka akan membantu maharaja dalam
pemerintahan sama ada diperingkat pusat atau wilayah.
Memerintah berdasarkan
prinsip Confucianisme.
Mengikut ajaran Confucius, “sesiapa berjaya mendapat mandat dari
syurga akan berjaya menjadi pemerintah yang baik dan rakyat dapat menikmati
kehidupan yang aman serta makmur”. Sekiranya bencana alam berlaku
menunjukkan bahawa maharaja yang memerintah tidak lagi mempunyai mandat dari
syurga dan dianggap sebagai penjenayah.
Maharaja mesti memerintah negara berdasarkan prinsip-prinsip anjaran
confuciannisme.
Menggubal undang-undang
Maharaja China juga berperanan dalam pengubalan undang-undang yang akan
digunakan di negara China. Setiap arahan atau kata maharaja akan menjadi
undang-undang. Kedudukan maharaja adalah mengatasi undang-undang. Sistem
perundangan yang digubal akan memastikan kedudukan maharaja terjamin sebagai
pemerintah berkuasa mutlak dan untuk memastikan negara sentiasa aman dan
selamat. Maharaja juga menjatuhkan hukuman termasuk hukuman bunuh.
Sebagai ketua tentera
Maharaja adalah sebagai ketua tentera dan bertanggungjawab menjaga
keamanan dan ketenteraman negara serta rakyat. Baginda akan dibantu oleh
golongan pembesar yang bertanggungjawab dalam bidang keselamatan terutama
golongan bangsawan perang dan anggota tentera.
2. Ekonomi
Maharaja perlu memastikan ekonomi negara China sentiasa berkembang dan
mampu memenuhi keperluan dalam negara iaitu sesuai dengan pengamalan dasar
tutup pintunya. Maharaja menguasai semua hasil ekonomi negara, menentukan dan menguasai
semua sistem pungutan cukai negara, terlibat dalam kegiatan perdagangan,
menaungi perdagangan Asia Tenggara dalam perdagangan ufti, menentukan sistem
sukatan dan timbangan dan sebagainya.
3. Sosial
Ketua agama
Maharaja China juga merupakan ketua agama yang diamalkan di negara China
seperti Buddha, Toisme & Confucius. Baginda bertanggungjawab memastikan
rakyatnya sentiasa mematuhi pengamalan agama yang dianuti di China dan
memastikan kepercayaan agama mereka tidak dicemari oleh pengaruh luar seperti
agama Kristian.
Ketua adat istiadat dan adat
resam masy China.
Maharaja juga bertanggungjwab untuk memastikan setiap adat istiadat
diraja dan adat resam dipatuhi setiap masa seperti adat kow-tow iaitu adat
bersujud dihadapan maharaja sebanyak 9 kali tanpa boleh melihat wajah
maharajanya. Adat ini mesti dilakukan oleh rakyat tempatan atau orang asing
yang ingin mengadap maharaja. Maharaja juga perlu memastikan alat-alat
kebesaran diraja sentiasa dijaga seperti lambang naga yang hanya boleh dipakai
oleh Maharaja dan kerabat diraja sahaja.
Pamerkan diri sebagai
pemimpin intelektual bagi seluruh rakyat.
Maharaja bertanggungjawab untuk menjadikan istana sebagai pusat
perkembangan ilmu. Oleh itu istana telah dijadikan sebagai pusat peperiksaan
awam kerajaan China untuk memilih kakitangan awam bagi menjawat jawatan
tertinggi negara.
Kesimpulan
Sistem pemerintahan bermaharaja di China mula tergugat apabila berlakunya
campurtangan kuasa Barat terutama apabila China mengalami kekalahan dalam
Perang Inggeris-China I pada tahun 1842. Negara China yang semakin lemah dan
kucar kacir ini telah mendorong golongan berpendidikan Barat melancarkan
revolusi pada tahun 1911. Revolusi ini akhirnya telah berjaya menamatkan sistem
pemerintahan bermaharaja di China dan kemudian diganti dengan sistem
pemerintahan bercorak Republik dan selepas itu sistem pemerintahan Komunis. Ketua
pemerintahannya adalah berjawatan sebagai Presiden.
Soalan-soalan Perbincangan:
a)
Huraikan kedudukan dan peranan
raja/maharaja dalam pemerintahan di China pada abad ke-16.
b)
Bandingkan kedudukan dan peranan raja/maharaja
dalam pemerintahan di China dengan Russia pada abad ke-16.
c)
Perundangan merupakan satu perkara penteng yang
dijalankan oleh maharaja di China dan raja Rusia pada abad ke-16. Bincangkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan