Jumaat, 15 November 2013

PENGGAL 1 TEMA 3 PERKEMBANGAN EKONOMI PERTANIAN DI ENGLAND


Menjelang akhir abad ke-17 M, tercetus revolusi yang dikenali sebagai Revolusi Pertanian di England. Revolusi Pertanian meletakkan asas bagi kemunculan Revolusi Perindustrian di England.

Perkembangan dalam Bidang PerTanian di England

1. Pengeluaran Makanan

Sebelum Revolusi Pertanian, pengeluaran makanan secara kecil-­kecilan sahaja. Selepas Revolusi Pertanian, pengeluaran makanan secara besar­-besaran berlaku kerana perubahan dalam sistem pemilikan tanah, penggunaan kaedah saintifik dalam penanaman, dan kaedah pemasaran produk yang berkesan.

2. Sistem Pemilikan Tanah

Sebelum Revolusi Pertanian, terdapat dua sistem pemilikan tanah iaitu sistem pemilikan tanah persendirian dan sistem pemilikan tanah awam. Tanah persendirian dimiliki oleh golongan tuan-tuan tanah yang kaya. Tanah awam merupakan tanah yang dimiliki oleh orang perseorangan. Rakyat biasa dibenarkan menggunakan tanah awam untuk bercucuk tanam, memelihara ternakan, memburu binatang, dan memancing.

3. Akta Pemagaran Tanah

Menjelang abad ke-18 M dan ke-19 M, berlaku pertambahan penduduk di England. Menjelang tahun 1801, bilangan penduduk di England dan Wales adalah 9 juta orang. Pada tahun 1831, bilangan penduduk meningkat secara mendadak sehingga mencapai 14 juta orang.

Pertambahan penduduk menyebabkan tuan-tuan tanah memanfaatkan tanah awam untuk menjalankan aktiviti pertanian secara besar-besaran. Tuan-tuan tanah mendapat kelulusan parlimen untuk memagari tanah awam. Antara tahun 1761 hingga 1792, hampir 500 000 ekar tanah dipagari.

Akta Pemagaran Tanah menyebabkan tuan-tuan tanah membeli tanah awam dan muncul ladang pertanian. Tuan-tuan tanah memiliki tanah yang luas untuk menjalankan penanaman secara besar-besaran.

4. Kaedah Pertanian Baru

Revolusi pertanian menyebabkan kaedah baru diperkenalkan dalam bidang pertanian iaitu sistem penanaman bergilir yang diperkenalkan oleh Lord Townshend. Mengikut kaedah baru ini, tanah pertanian dapat digunakan secara berterusan sepanjang tahun.

Dalam sistem penggiliran tanaman pula, jenis tanaman yang berbeza akan ditanam mengikut musim. Melalui kaedah baru ini, kesuburan tanah tidak terjejas kerana tanaman yang berlainan menggunakan bahan mineral tanah yang berlainan.

Dalam pada itu, tidak ada tanah yang perlu ditinggalkan kosong dalam sistem pertanian ini. Pengenalan sistem penanaman bergilir menyebabkan beberapa tanaman baru diperkenalkan antaranya ialah turnip dan ubi kentang. Thomas William Cake telah memperbaik sistem penggiliran tanaman dan mendapati hasil pertanian meningkat berlipat kali ganda.

5. Kaedah Penternakan BARU

Robert Bakewell telah memperkenalkan kaedah baru dalam bidang penternakan terutama dalam penternakan biri-biri dan lembu. Melalui kaedah baru yang diperkenalkan, binatang ternakan boleh membesar dan matang dengan lebih cepat. Bekalan daging dan bulu binatang juga bertambah menerusi kaedah baru ini. Selain itu, binatang-binatang ternakan juga membekalkan baja kepada para petani untuk tanaman mereka.

6. Pengenalan Pertanian Campuran

Lord Townshend telah memperkenalkan sistem penggiliran tanaman iaitu petani dikehendaki menanam rumput. Rumput yang ditanam oleh petani digunakan sebagai sumber makanan kepada binatang ternakan seperti biri-biri dan lembu. Dengan demikian, petani mengamalkan sistem pertanian campuran yang melibatkan tanaman dan ternakan. Penglibatan petani dalam aktiviti pertanian dan penternakan menambahkan pendapatan mereka.

7. Ciptaan Baru

Revolusi Pertanian juga menyebabkan peralatan baru dicipta untuk meningkatkan pengeluaran hasil pertanian. Jethro Tull telah mencipta alat yang digunakan untuk menggali dan menugal tanah pertanian. Penciptaan alat baru ini membolehkan penugalan dan penanaman biji benih dapat dilakukan dengan lebih pantas.

Menjelang tahun 1730-an, sejenis bajak berbentuk tiga segi yang dikenali sebagai Rotterham telah direka. Penciptaan alat tersebut membolehkan kerja membajak tanah dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

Selain itu, pelbagai peralatan untuk menjalankan kerja pertanian telah dicipta. Antara alat pertanian tersebut ialah alat mengetam, alat memukul dan alat menumbuk bijirin. Penciptaanperalatan-peralatan tersebut telah mengurangkan penggunaan tenaga manusia dalam menjalankan kerja-kerja pertanian. Dalam pada itu, penciptaan jentera berkuasa wap menyebabkan kerja dapat dijalankan dengan cepat dan berkesan.

8. Penggunaan Baja dan Sistem Saliran

Menjelang pertengahan abad ke-19 M, ahli-ahli sains berjaya menghasilkan baja tiruan. Di samping itu, baja asli juga digunakan secara meluas untuk rneningkatkan pengeluaran hasil pertanian. Selain itu, mereka juga bertindak membina dan membaiki sistem saliran. Pembinaan sistem saliran menyebabkan berjuta-juta hektar tanah dapat disalirkan untuk tujuan pertanian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Entri yang lepas lepas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...